Membeli rumah pertama adalah satu pencapaian besar dalam hidup. Namun ramai pembeli rumah pertama membuat kesilapan yang boleh menyebabkan kerugian kewangan atau menyesal selepas membeli.
Tanpa ilmu yang betul, anda mungkin membeli rumah yang tidak sesuai dengan kemampuan atau keperluan keluarga. Berikut adalah 7 kesilapan utama yang sering dilakukan oleh pembeli rumah pertama — dan bagaimana anda boleh elakkannya.
1. Tidak Menilai Kemampuan Kewangan Dengan Betul
Kesilapan paling biasa adalah membeli rumah melebihi kemampuan. Ramai pembeli hanya melihat harga rumah tanpa mengira komitmen bulanan sebenar.
Bank biasanya menilai kelayakan pinjaman berdasarkan pendapatan, komitmen hutang dan rekod kredit pemohon.
Jika bayaran bulanan terlalu tinggi, ia boleh menyebabkan tekanan kewangan jangka panjang.
Tips:
- Pastikan ansuran rumah tidak melebihi 30–35 % pendapatan bulanan
- Semak laporan CCRIS & CTOS sebelum memohon pinjaman
- Elakkan menambah hutang baru sebelum beli rumah
2. Tidak Menyediakan Wang Deposit Secukupnya
Kebanyakan pembeli rumah pertama tidak bersedia dengan kos permulaan.
Biasanya anda perlu menyediakan sekitar 10% deposit daripada harga rumah , selain itu ada kos lain seperti guaman dan duti setem.
Contoh:
Jika harga rumah RM400,000
- Deposit 10% = RM40,000
- Kos guaman & duti setem ≈ RM10,000+
Jumlah kos awal boleh mencecah 13–14 % daripada harga rumah. Ada juga Skim Full Loan 100% untuk pembeli rumah pertama yang mana deposit tidaklah diperlukan sehingga 10% daripada harga rumah. Tetapi skim ini bergantung juga kepada profil pembeli sebelum diluluskan.
3. Tidak Mengkaji Harga Pasaran Rumah
Ramai pembeli membeli rumah kerana nampak murah tanpa menyemak harga pasaran sebenar di kawasan tersebut.
Kadangkala harga rumah yang dijual lebih tinggi daripada nilai pasaran semasa.
Akibatnya:
- Sukar untuk jual semula
- Bank mungkin memberi pinjaman lebih rendah daripada harga beli
Tips
- Rujuk ejen hartanah yang aktif di kawasan tersebut
- Bandingkan harga rumah di kawasan sama
4. Terburu- Buru Tandatangan Booking Form
Selepas melihat rumah, ramai pembeli terus tandatangan booking form tanpa memahami syarat yang ada.
Hakikatnya, booking form adalah dokumen rasmi dan deposit boleh hangus jika pembelian dibatalkan.
Sebelum tandatangan:
- Ambil masa berbincang dengan keluarga
- Faham semua terma dalam borang
- Semak kelayakan loan terlebih dahulu
5. Tidak Faham Dokumen Perjanjian Jual Beli (S&P)
Perjanjian jual beli atau Sale and Purchase Agreement (S&P) adalah dokumen paling penting dalam pembelian hartanah.
Jika tidak faham terma dalam perjanjian,
- Anda mungkin terlepas pandang kos tambahan
- Risiko penalti jika pembayaran lewat
- Terikat dengan syarat yang merugikan
Sebab itu pembeli digalakkan membaca dokumen ini dengan teliti sebelum menandatangani.
6. Abaikan Perancangan Jangka Panjang
Ramai beli ikut nafsu — rumah nampak cantik, terus beli. Tapi 5 tahun lagi mungkin tidak sesuai.
❌ Beli tanpa fikir keluarga membesar, sekolah anak, atau tempat kerja.
✅ Pilih rumah yang sesuai sekurang-kurangnya 10 tahun ke hadapan.
7. Membeli Rumah Ikut Emosi
Kesilapan terakhir adalah membeli rumah kerana emosi.
Contohnya:
- Terpengaruh dengan design rumah
- Takut terlepas peluang
- Ikut trend atau tekanan orang sekeliling
Hakikatnya membeli rumah adalah komitmen kewangan jangka panjang dan keputusan perlu dibuat secara rasional.
Kesimpulan
Elakkan 7 kesilapan ini, anda bukan sahaja dapat rumah idaman, malah boleh elak beban kewangan yang menghantui bertahun-tahun. Ingat — beli rumah pertama sepatutnya jadi langkah permulaan yang bijak, bukan perangkap hutang.
Jika anda sedang merancang untuk membeli rumah pertama, pastikan anda membuat kajian dan mendapatkan nasihat daripada ejen hartanah berdaftar supaya proses pembelian menjadi lebih mudah dan selamat.



